Paris 2024: Pakar Psikologi jadi pendamping Johnathan Wong di Paris
Najmi Iman
July 15, 2024 19:37 MYT
July 15, 2024 19:37 MYT
Seorang pakar psikologi akan diterbangkan dari Kuala Lumpur ke Paris untuk menemani penembak elit negara, Johnathan Wong, ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Perkara itu telah disahkan jurulatihnya, Firdaus Abd Rahim, kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, sekali gus menjadi tonik tambahan buat Johnathan untuk penampilan keduanya di temasya sukan terbesar dunia itu selepas edisi lalu di Rio 2016.
"Kita menyediakan 'orang ketiga' buat Johnathan sebagai pemberi motivasi serta mengawal emosinya ketika sedang bertanding," katanya.
Difahamkan, pegawai psikologi terbabit ialah Aruna Santhappan yang pernah berkhidmat bersama Institut Sukan Negara (ISN).
Usaha gemilang tersebut membuktikan kem menembak negara bukan sekadar menjadi pelengkap malah, meletakkan sasaran pingat emas terhadap Johnathan di Paris nanti.
"Persembahan Johnathan boleh menjangkaui kebolehan sebenar sekiranya dia mampu menghilangkan kegusaran ketika bermain," tambahnya.