Beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah, mengakui mereka terlalu banyak berfikir sehingga susah tidur sebelum mengesahkan kelayakan ke separuh akhir Sukan Olimpik Paris 2024 di Porte de La Chapelle Arena hari ini.

Gandingan nombor satu negara itu mengesahkan kemaraan dengan meraih kemenangan mudah 21-12, 21-13 ke atas gandingan Korea Selatan, Kim So Yeong-Kong Hee Yong.

Dengan kemenangan itu, mereka akan kembali bertemu beregu nombor satu dunia, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan, bagi penentuan ke final petang esok.

Pearly, dalam satu temu bual bersama wartawan Astro Arena, Shahrazad Sani, berkata: "Untuk perlawanan ini, semua orang mahu menang dan kami juga terlalu banyak berfikir sehingga susah untuk tidur.

"Kami amat gugup kerana kami juga mahu menang, sama seperti mereka. Kami tahu ia bukan mudah.

"Mujur sewaktu di atas gelanggang, saya tahu saya ada Thinaah dan Thinaah tahu dia ada saya.

"Itulah perkara paling penting buat kami."

Thinaah menambah: "Saya juga sukar untuk tidur semalam kerana asik berfikir mengenai betapa pentingnya perlawanan ini.

"Sejak dari hari pertama kami sedar setiap perlawanan amat penting tetapi ini akan menjadi pemangkin kerana dalam kejohanan sebelum ini, kami kerap terkandas dalam suku akhir.

"Tetapi untuk berada dalam separuh akhir di sini, saya hilang kata-kata, ia amat melegakan.

"Tetapi seperti yang Pearly katakan, masih ada perlawanan separuh akhir dan untuk ketika ini, kami hanya mahu berehat dan pulih sebaik mungkin untuk sekali lagi berjuang esok."