Paralimpik Paris 2024: S. Suresh lupakan kekecewaan edisi ini, fokus Los Angeles 2028
Kamal Nizam
September 5, 2024 17:20 MYT
September 5, 2024 17:20 MYT
Bekas juara dunia, S. Suresh, yang sudah pun mengakhiri perjalanannya selepas tewas kepada pemanah Iran, Mohamad Reza Arab Ameri, menyatakan ingin lupakan kenangan pahit dalam Sukan Paralimpik Paris 2024.
Mengikut rekod sebelum ini, Suresh meraih gelaran juara di Kejohanan Memanah Dunia 2019 di s-Hertogenbosch, Belanda. Namun kecemerlangan yang pernah dilakukannya itu tidak mampu diulang apabila tersingkir di saingan suku akhir.
Sebaliknya, Suresh ingin tumpukan persiapan menjelang temasya Paralimpik Los Angeles 2028 dan dalam masa sama, dia berpendapat faktor umur tidak akan menjejaskan prestasinya.
"Untuk memanah ni, umur tidak main peranan, cuma pengalaman akan menjadi peranan besar menjelang LA 2028," katanya kepada wartawan Astro Arena, Karl Nunis.
"Saya harap saya dapat buat yang terbaik di Los Angeles, lebih-lebih lagi di sana nanti saya akan bermain dua acara berbanding hanya satu di paris.
"Sekarang ini kami akan hadapi lima pertandingan, dalam pertandingan itu saya perlu konsisten untuk menang.
"Kemenangan itu membolehkan saya kekalkan prestasi dengan menggunakan segala data dalam pertandingan, sekali gus cuba dapatkan pingat temasya akan datang," katanya.