Paralimpik Paris 2024: Insiden Shelly Ann jadi peringatan buat Ziyad Zolkefli
Muzaffar Musa
August 19, 2024 20:05 MYT
August 19, 2024 20:05 MYT
Insiden menimpa ratu pecut Jamaica, Shelly-Ann Fraser-Pryce, dalam Sukan Olimpik Paris awal bulan ini menjadi peringatan buat semua atlet olahraga para negara, yang akan bersaing dalam Sukan Paralimpik Paris bermula hujung bulan ini.
Ia terutama buat jaguh lontar peluru para negara, Ziyad Zolkefli, susulan insiden berkenaan mirip episod duka yang dialaminya di Tokyo tiga tahun lalu.
Ziyad terpaksa menelan pahit dibatalkan penyertaan di Tokyo 2020 susulan lewat melaporkan diri di bilik menunggu sebelum acara berlangsung.
lebih mendukacitakan, catatan rekod dunia 17.94 meter yang dilakukannya dalam acara lontor peluru F20 itu juga tidak diiktiraf.
Ketika insiden itu sudah lama berlalu, berlaku pula insiden babitkan Shelly-Ann, yang tertinggal bas dan dihalang masuk ke venue pertandingan di Paris baru-baru ini.
"Sebelum ini, sudah macam-macam perkara berlaku," kata Ziyad kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
"Saya sudah menghadapi pelbagai dugaan dan latihan yang agak berat untuk sampai ke Paris.
"Kini hanya tinggal beberapa hari lagi untuk saya bertanding dan bagi saya, inilah masanya dan tubuh saya sudah bersedia untuk bertanding di sana," katanya.
Mengulas lanjut, jurulatih Ziyad, Faizol Harun, menambah: "Kami sudah melihat semua perkara itu dan kami akan berbincang dengan jurulatih yang akan ke sana untuk membuat jadual untuk setiap jurulatih peka dengan waktu untuk ke callroom dan sebagainya.
"Kami akan pastikan dia tiba seawal yang mungkin di callroom, mungkin setengah jam lebih awal," katanya.
Ziyad bakal membuat penampilan keempatnya dalam Sukan Paralimpik selepas edisi London 2012, Rio 2016 dan Tokyo 2020.
Misinya kali ini sudah pasti untuk menebus kekecewaan tiga tahun lalu dengan sasaran melakukan lontaran sejauh 18 meter.