Paralimpik Paris 2024: Ekoran suhu panas, Cheah Liek Hou mohon MPM sediakan 'aircond'

Najmi Iman
August 14, 2024 20:38 MYT
Jaguh badminton para dunia, Cheah Liek Hou, merayu agar Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) merealisasikan permintaannya di Sukan Paralimpik Paris 2024 demi mengekalkan aspirasi kilauan pingat emas yang dimenanginya di edisi lalu, Tokyo 2021.
Liek Hou meluahkan hasratnya untuk memiliki kemudahan sebagai contoh pendingin hawa di dalam biliknya semasa di perkampungan sukan seperti yang dilakukan jaguh perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei.
Difahamkan, atlet berusia 36 tahun itu sudah mendapat maklum balas daripada barisan kontinjen negara yang baru pulang dari Paris berkenaan tahap susu yang menjadi kerisauannya ketika ini.
Dalam masa sama, Liek Hou berharap pendekatan jurulatihnya, Nova Armada, yang berlatih di dewan Institut Sukan Negara (ISN) mampu membantunya mengulangi pencapaian sama kerana mempunyai persamaaan dengan venue di Porte de la Chapelle Arena.
"Masa tidur akan terjejas sekiranya cuaca terlalu panas menyebabkan keesokan harinya menjadi penat.
"Saya mohon MPM tunaikan hajat untuk menyediakan pendingin hawa bagi membantu kemudahan atlet.
"Suasana di ISN dilihat sama seperti venue di Paris kerana mempunyai angin yang agak kuat jadi saya mahu menyesuaikan diri berlatih di sini sebelum berangkat ke sana," katanya.
#badminton #Paralimpik #Majlis Paralimpik Malaysia #Cheah Liek Hou #Sukan Olimpik Paris 2024
;