Paralimpik Paris 2024: Daneshen Govinda mahukan aksi kompetitif demi pengalaman baru
Najmi Iman
September 6, 2024 20:05 MYT
September 6, 2024 20:05 MYT
Sukan Paralimpik Paris 2024 menjadi saksi pengorbanan besar atlet demi mencapai hasrat untuk membanggakan negara di persada dunia.
Pelbagai inisiatif telah diambil disamping perjalanan berliku menuju temasya paling berprestij itu meskipun jurang kualiti permainan masih jauh berbanding atlet lain kerana itulah hakikat yang perlu diterima pemanah para negara, Daneshen Govinda Rajan.
Daneshen perlu mengetepikan hal peribadi seperti menangguhkan hasrat untuk berkahwin tatkala mahu mengubah beberapa aspek permaninannya demi mencapai kemajuan dalam panahannya.
Atlet berusia 27 tahun itu sedang mengadaptasi pembelajaran daripada pemanah terbaik dunia untuk lebih pantas menguasai persekitaran venue supaya tidak menjejaskan prestasi di masa akan datang.
Menjelang musim baru kelak, Daneshen mendambakan saingan kompetitif yang lebih kerap agar dapat merealisasikan pengalaman baru terutamanya memahirkan aspek arah angin.
"Perkara paling utama ialah melihat situasi di luar negara mengenai faktor cuaca kerana itulah pembelajaran paling penting," katanya.