Paralimpik Paris 2024: Bonnie Bunyau tidak pandang mudah Telesca
August 15, 2024 13:28 MYT
Jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin, tidak akan memandang enteng kelibat Donato Telesca, yang mampu menggugat kedudukannya mempertahankan emas kategori 72 kilogram (kg) lelaki dalam Sukan Paralimpik 2024 di Paris.
Biarpun memiliki reputasi selaku pemegang rekod dunia 231kg, dan rekod temasya itu 228kg, Bonnie berkata dia perlu berhati-hati dengan saingan dari Telesca memandangkan belum dapat mencongak strategi bakal diatur pencabar terdekatnya itu dalam saingan di Porte de La Chapelle Arena itu nanti.
"Sekarang saya dalam fasa capai kemuncak prestasi. Untuk pertahankan memang ada tekanan, namun saya perlu sediakan mental untuk meraihnya dan juga pecah rekod.
"Saya juga tidak mengetahui perkembangan terkini pencabar dari Itali itu, jadi sekarang dalam fasa berhati-hati," katanya.
Dalam pada itu, dia ternyata bangga apabila sekali lagi dipilih untuk membawa Jalur Gemilang ketika upacara pembukaan rasmi temasya sukan berprestij itu pada 28 Ogos ini.
Bonnie, yang pernah menjadi pembawa Jalur Gemilang dalam edisi Tokyo 2020, berkata penghormatan itu membakar semangatnya untuk terus mengharumkan nama negara di Paris 2024.
Sementara itu, Bonnie gembira melihat Nicodemus Manggoi Moses serta pemenang pingat perak 107kg lelaki di Tokyo 2020, Jong Yee Khie, yang akan bersamanya di Paris 2024.
"Sebelum ini, di Tokyo, ada saya dan Yee Khie, sekarang kami pergi bertiga, rasa gembira sokongan makin bertambah," katanya.
Nicodemus, yang bakal membuat penampilan sulung dalam Sukan Paralimpik kali ini, akan beraksi dalam kategori 97kg lelaki.
Sukan Paralimpik 2024 akan dibuka secara rasmi pada 28 Ogos ini dan melabuhkan tirainya pada 8 September depan.
-- Sinar Harian