Para Sukma: Yusmanisham harap emas cerah laluan sertai skuad powerlifting kebangsaan
Shaiful Shamsudin
November 5, 2022 20:16 MYT
November 5, 2022 20:16 MYT
Jaguh powerlifting Kedah, Mohamad Yusmanisham Yahya, mengungguli acara tidak melebihi 107 kilogram dalam Kejohanan Para Sukan Malaysia (Sukma) 2022, selepas muncul sebagai satu-satunya peserta yang melepasi semua angkatan.
Justeru, atlet berusia 28 tahun itu berharap kejayaan dalam penampilan keduanya dalam temasya ini dapat mencuri tumpuan barisan kejurulatihan skuad demi mencapai impiannya beraksi di peringkat antarabangsa.
"Sangat luar biasa, buat kali pertama saya menang.
"Keyakinan saya hari ini lebih tinggi.
"Pencabar yang dihadapi juga setaraf, jadi saingan sangat sengit.
"Saya ingin mengikut jejak langkah rakan seperjuangan yang memahat kejayaan di luar negara," katanya.
Dalam aksi yang berlangsung di Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan itu, hari ini, Yusmanisham mendominasi saingan selepas melakukan angkatan terbaik bermula dengan 80kg, 87kg diikuti 92kg tanpa digugat lima perserta lain.
Sementara itu, pingat perak menjadi milik wakil Selangor, Rusdi Arman Alias, dengan angkatan terbaiknya 79kg untuk mengatasi lawan dari Negeri Sembilan, Muaz Izzuddin Mohd Hussin Ooi, dengan jurang kurang 1kg.