One Championship: Johan Ghazali tampak segak berbaju Melayu dalam sesi media sebelum pertarungan
Muzaffar Musa
June 5, 2024 21:26 MYT
June 5, 2024 21:26 MYT
Jaguh muay thai negara dan bintang One Championship, Muhamad Johan Ghazali Zulfikar, tampak segak berbusana baju Melayu dalam sesi media menjelang pertarungan ONE 167, Sabtu ini.
Johan, 18, yang baru sahaja menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) minggu lalu, akan kembali ke gelanggang One Championship esok.
Bintang muda yang mewakili Rentap Muay Thai Gym itu akan membuat perhitungan dengan juara WMF Muay Thai lima kali dari Vietnam, Nguyen Tran Duy Nhat, dalam pertarungan di Impact Arena, Bangkok, Thailand.
Pertarungan kali ini menawarkan bonus prestasi sebanyak AS$50,000 (RM235,332.68) kepada pemenang andai melepasi syarat ditetapkan.
Untuk rekod, kali terakhir Johan bertarung adalah pada 8 Disember tahun lalu, yang menyaksikan dia menumbangkan juara WBC dari Mexico, Edgar Tabares, menerusi kemenangan ‘knockout’ (KO) dalam tempoh 36 saat di Bangkok.
Pada Oktober tahun lalu, Johan mencipta sejarah apabila menjadi atlet tempur termuda memperoleh kontrak One Championship bernilai AS$100,000 (RM463,300).