Olimpian, Paralimpian negara terima imbuhan RM10,000
Saufi Tahir
October 1, 2024 19:44 MYT
October 1, 2024 19:44 MYT
Seramai 56 atlet yang beraksi di temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024 diraikan dalam satu majlis penyerahan penajaan hadiah insentif, hari ini.
Kesemua wira-wirawati yang telah mengharumkan nama negara menerima imbuhan wang berjumlah RM10,000 beserta potret khas yang dihasilkan pelukis terkenal tanah air, Alvin Chong.
Antara barisan atlet yang hadir dalam majlis yang berlangsung di Kuala Lumpur itu ialah pemenang pingat emas paralimpik Paris, Cheah Liek Hou, pemenang pingat perak, Ziyad Zolkefli, selain penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri serta beregu wanita negara, Pearly Tan.
Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh, turut meminta agar setiap atlet menggunakan media sosial mereka dengan berkhemas dan bertanggungjawab memandangkan mereka adalah ikon buat generasi muda.
"Hari ini 56 atlet telah menerima RM10,000 seorang daripada MILO atas usaha mereka.
"Saya lihat atlet mempunyai peranan mereka dalam pembinaan semula negara khasnya mereka mempunyai akses kepada generasi muda terutamanya kanak-kanak kerana ia merupakan inspirasi dan ikon kepada mereka.
"Saya meminta mereka gunakan media sosial mereka dengan berkhemah kerena mereka mempunyai dorongan buat generasi muda. Menang atau kalah itu adalah sukan.
"Tetapi mesej selepas kemenangan dan kekalahan itu adalah mesej paling bernilai buat generasi muda dan kanak-kanak." katanya.