Olahraga Varsity Grand Final: Penganjuran VTF beri peluang atlet junior IPT tunjuk taring
Saufi Tahir
November 7, 2024 21:22 MYT
November 7, 2024 21:22 MYT
Sehari menjelang Kejohanan Grand Final Varsity Track And Field (VTF) 2024 yang akan berlangsung di Stadium Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Terengganu, Terengganu esok.
Timbalan Setiausaha Bahagian Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik Kementerian Pendidikan Tinggi, Dr Hanafiah Ayub, berkongsikan tujuan VTF dirangka adalah susulan kebanyakan atlet di Institut Pengajian Tinggi (IPT) kurang kejohanan untuk disertai.
Stadium UniSZA dipilih sebagai medan perhitungan peringkat akhir susulan venue itu mengikut piawaian yang ditetapkan agar sebarang rekod yang dipecahkan atlet dapat diiktiraf.
"Untuk ke pusingan akhir ini perlu melalui tiga siri, jadi terdapat markah merit yang melayakkan atlet mara ke pusingan akhir serta kualiti yang dirangka ini membantu program buat atlet secara berterusan sepanjang tahun.
"Pada asalnya, program ini dirangka sebagini adalah kerana kebanyakan atlet di IPT tidak cukup pertandingan untuk disertai. Jadi kementerian melihat olahraga perlu dibangunkan secara tersusun dan kerana itu lahirnya VTF ini.
"Sepanjang tiga tahun dilaksanakan sebanyak dua rekod telah dipecahkan," katanya.
Ketika ditanya mengenai impak positif penganjuran program itu dia menjelaskan: "Kebiasaannya atlet baru masuk IPT belum mencapai puncak prestasi, tetapi kami perlu beri dorongan, jadi program akan bantu pelajar tahun baru punyai peluang bersaing di peringkat lebih tinggi serta pertandingan akan jadi lebih kompetitif.
"Kejohanan ini menggunakan teknologi, kita mensasarkan setiap rekod yang dipecahkan atlet diiktiraf. Jadi kita mahukan venue program memenuhi keperluan teknikal. Malang jika rekod dipecahkan tapi tidak diiktiraf.
"Stadium UniSZA ini baru dan pertama kali digunakan. Jadi perlu diuji dengan kejohanan sebenar." tambahnya.