Olahraga Varsity Grand Final: Nani Sahirah gigih baiki tiga lontaran awal

Shaiful Shamsudin
November 7, 2024 20:25 MYT
Kurang 24 jam sebelum bermulanya Kejohanan Olahraga Varsity Grand Final 2024 dengan semua atlet olahraga terbaik daripada serata universiti di dalam negara bermula esok.
Dan tumpuan pasti terarah kepada Nani Sahirah Maryata yang baru sahaja memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri di Perlis.
Bintang lontar peluru wanita negara itu yang akan mewakili Universiti Putra Malaysia (UPM) berkenaan menyifatkan kempen di Pusat Sukan Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) tersebut sebagai pelantar mengekalkan prestasinya sambil berhasrat memecahkannya buat kali yang ketiga suatu hari nanti.
"Saya mahu buat yang terbaik untuk tiga lontaran awal. Saya mahu latih agar tidak boleh bersikap sambil lewa untuk memasuki final dalam kejohanan utama.
"Jadi saya tidak mahu sia-siakan balingan," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.
Sementara itu, seorang lagi atlet negara iaitu Kamal Farhan Rahman mahu menikmati kejohanan akhir musim ini sambil menekankan bahawa sasaran sebenarnya adalah Sukan SEA Thailand pada hujung tahun depan.
"Selalunya musim olahraga akan berakhir selepas super siri. Jadi saya akan turun untuk menikmati lemparan," katanya pula.
#Olahraga #Kejohanan Olahraga Varsity Grand Final
;