Olahraga Varsity Grand Final: Ahli keluarga bekas raja pecut Asia Tenggara curi tumpuan

Ammar Hakim
November 8, 2024 18:54 MYT
Hari pertama Kejohanan Olahraga Varsity Grand Final disinari kejayaan anak saudara bekas raja pecut Asia Tenggara, iaitu Muhammad Raimi Mustafa Kamal dari Universiti Malaysia Perlis, yang ungguli saingan 200 meter pecut lelaki diamond.
Terkejut mampu merekod catatan terbaik peribadi walaupun persiapannya banyak tertumpu dalam acara 100 meter pecut, anak saudara Nazmizan Mohamad itu menamatkan perlumbaan dalam masa 21.51 saat.
Dalam saingan wanita pula, bekas juara 200 meter pecut Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2024, Danea Humairah Sufry dari Kolej Komuniti Malaysia tiada masalah muncul terpantas selepas mencatat 26.09 saat.
Catatan itu merupakan 0.19 saat lebih pantas daripada larian emas Danea di SUKIPT, sekaligus memperbaiki masa peribadi terbaiknya dalam acara itu.
Jaguh Universiti Putra Malaysia, Kamal Farhan, menepati ramalan muncul juara selepas mencatat 47.35 meter di lemparan keempat.
Catatan itu jauh daripada rekod peribadinya yang melepasi 50 meter, namun bagi kamal sendiri, ia sudah cukup baik jika mengambil kira dirinya yang alami sedikit kecederaan.
Saingan lempar cakera wanita diamond pula, Nani Sahirah turut membanggakan UPM apabila mudah muncul juara dengan lemparan sejauh 37.89 meter.
Menariknya, Nani sekadar menjadikan acara ini sebagai pemanas badan sebelum acara utamanya iaitu lontar peluru wanita diamond yang akan berlangsung pada hari terakhir kejohanan.
#Olahraga #Kejohanan Olahraga Varsity Grand Final
;