Olahraga Para Dunia: Lontaran emas Ziyad di Dubai
Shaiful Shamsudin
February 14, 2024 20:50 MYT
February 14, 2024 20:50 MYT
Atlet lontar peluru para lelaki, Muhammad Ziyad Zolkefli, menganggap catatan lontaran sejauh 16.62 meter untuk mengungguli acara lontar peluru lelaki F-20 adalah sesuatu yang menakjubkan, malah lebih daripada jangkaannya.
Ia cukup untuk mengatasi Muhammet Atici yang melakar 15.12m dari Turkiye dan Boonkong Sanepoot dari Thailand yang melakukan 12.80m, manakala seorang lagi wakil negara, Mohamad Aliff Mohamad Awi, menamatkan saingan di kedudukan keempat dengan merekodkan 12.61m dalam kejohanan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE, petang tadi.
Dalam perkembangan sama, dia turut berharap agar dapat memecah rekod peribadi terbaiknya, 17.30m dan lebih baik lagi sekiranya berjaya membuat rekod dunia menjelang Kejohanan Olahraga Para Dunia di Jepun bermula 17 hingga 25 Mei ini.
"Satu sasaran yang luar biasa menjelang Kejohanan Dunia dan kalau boleh saya mahu atasi rekod sendiri, melakukan lontaran sejauh 17.00m mahupun 17.50m yang terbaik adalah memecah rekod dunia menuju ke Paris.
"Saya akan usaha lebih keras dan tajamkan teknik untuk beraksi lebih bagus," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.