Olahraga MSSM: Atlet pertama catat sejarah bawah 21 saat acara 200 meter jadikan Sayyid Amin olahragawan kejohanan
Najmi Iman
October 25, 2024 18:35 MYT
October 25, 2024 18:35 MYT
Berakhir sudah Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2024 edisi ke-64 yang berlangsung di Ipoh, Perak menyaksikan banyak atlet muda bakal menjadi pelapis kepada wakil negara.
Antara yang paling mencuri tumpuan ialah atlet MSS Pulau Pinang, Syed Amin Roslan, yang melakar kejutan terbesar apabila dinobat sebagai olahragawan selepas menggondol dua pingat emas dan satu perak.
Lebih menarik, Syed Amin menjadi atlet pertama dalam sejarah penganjuran MSSM apabila mencatatkan larian bawah 21 saat dalam acara 200 meter kategori bawah 18 tahun.
Kelajuan 20.94s dalam aksi akhir acara itu turut menewaskan pencabar dari MSS Johor, Danish Iftikhar, sekali gus memecahkan rekod kejohanan.
Pencapaian itu juga hampir memadam rekod kebangsaan yang dilakukan oleh Russel Alexander Nasir dengan catatan 20.77s pada 2019.
"Alhamdulillah saya berbangga dengan pencapaian ini setelah lama saya impikan untuk menjadi olahragawan sebelum ini.
"Perasaan tak cukup untuk seorang manusia sentiasa ada, Insya-Allah mesti akan ada lagi.
"Saya berharap perkara yang indah akan menjelma lagi pada masa akan datang," katanya di Stadium Perak, Ipoh.
Sementara itu, Alia Batrisyia Nasaruddin dari MSS Kelantan meraih anugerah olahragawati susulan pungutan satu emas dan satu perak dalam kempen kali ini.
Paling mengujakan, dia berjaya memperbaharui rekod MSSM yang berdiri selama 11 tahun dalam acara lompat kijang B-18 wanita dengan lompatan sejauh 12.62m.
"Saya gembira kerana saya tidak pernah meraih pencapaian ini sepanjang bergelar atlet MSSM.
"Saya tidak sangka dan berbangga dengan diri sendiri sambil berharap dapat bermain mewakili negara satu hari nanti," katanya kepada Nadi Arena.