Olahraga MSSM: 18 rekod baru dicatatkan, MSS Sabah juara keseluruhan
Najmi Iman
October 25, 2024 18:44 MYT
October 25, 2024 18:44 MYT
Penganjuran Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2024 menyaksikan sebanyak 18 rekod berjaya dipecahkan.
Pengarah MSSM edisi ke-64, Halim Saad, menyifatkan tahap saingan sedang meningkat secara mendadak dengan segala catatan yang dilakukan meninggalkan jurang perbezaan yang begitu jauh.
"Jika nak dibandingkan pengelolaan pada 2022 di Kuala Lumpur hanya melakar empat rekod baru, manakal tahun lalu di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi pula mencetak 11 rekod baru dan tahun ini sebanyak 18 rekod berjaya dipecahkan daripada tiga lapisan kategori termasuk lelaki dan wanita.
"Ini menunjukkan bahawa peningkatan prestasi yang mendadak ditonjolkan oleh atlet remaja mencapai tahap yang sangat tinggi.
"Ini adalah sinar baru dalam sukan olahraga pada masa akan datang," katanya kepada wartawan Astro Arena, Kamal Nizal.
Sementara itu, kontinjen MSS Sabah muncul sebagai juara keseluruhan selepas menggondol 23 pingat emas, 22 perak dan 16 gangsa sepanjang kejohanan berlangsung.
Lebih menarik, skuad bawah 12 tahun MSS Sabah menyapu enam daripada lapan pingat emas yang dipertandingkan.