Nur Afrina sedia bergerak sendiri
Ammar Hakim
September 9, 2024 19:50 MYT
September 9, 2024 19:50 MYT
Ratu pecut Sukan Malaysia (Sukma) 2024, Nur Afrina Batrisyia Mohd Rizal, tampak bersedia bergerak sendiri apabila difahamkan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) akan melakukan penstrukturan semula barisan kejurulatihan.
Ini bermakna, Afrina yang memenangi tiga pingat emas di Sukma Sarawak baru-baru ini berkemungkinan tidak lagi berada di bawah bimbingan jurulatih pecut negara, Md Poad Md Kassim.
Afrina mencetus sensasi di Sarawak apabila memecah rekod temasya dalam acara 100 dan 200 meter wanita, menerusi catatan 11.64 saat dan 23.89 saat.
Berdasarkan pencapaian itu, atlet dari Selangor berusia 21 tahun itu tampak perlu diberi perhatian khusus oleh mana-mana pihak untuk menyinar di temasya Sukan SEA Thailand, tahun depan.