NSL: Trofi lebih berprestij musim akan datang
November 8, 2023 10:42 MYT
Selepas kejayaan penganjuran Netball Super League (NSL) 2023, Astro merancang untuk membawakan aksi yang lebih dramatik menerusi beberapa cadangan baru termasuk menambah trofi baharu yang lebih berprestij.
Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John berkata, penambahbaikan itu mungkin akan melibatkan perubahan pada format kejohanan yang menjanjikan saingan lebih sengit buat pasukan.
Beliau turut bercadang untuk mempelawa beberapa pasukan dari luar negara bagi meningkatkan lagi tahap kompetitif kejohanan tersebut.
“Bagi kami memang ada dalam perbincangan (penambahan trofi). Daripada segi format sama ada melibatkan empat pasukan teratas atau kelompok bawah belum pasti.
“Keinginan nak buat macam pertandingan peringkat wilayah. Format liga sepusingan mungkin dikekalkan. Idea lain trofi penamat musim. Misalnya NSL Champion Cup untuk dipertandingkan pada akhir musim.
“Mungkin kita jemput kelab dari Singapura, Australia dan Sri Lanka. Namun ia masih dalam perbincangan bergantung kepada kos dan penajaan, selain jika ada penambahan pasukan yang bertanding,” katanya semalam.
Edisi ketiga NSL 2023 berakhir pada Ahad dengan menyaksikan Johor Jewels mempertahankan kejuaraan setelah menewaskan KL Wildcats 47-43 dalam aksi final di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
Selain Jewel dan Wildcats, NSL 2023 turut melibatkan penyertaan Pahang Tulips, Selangor Angels, Negeri Sembilan Venoms, Perak Phoenix, Putrajaya Dynamites dan Terengganu Marvels.
Dalam pada itu, Nicholas meluahkan rasa teruja dengan kehangatan NSL kali ketiga musim ini menerusi sambutan menggalakkan daripada penyokong di stadium dan tontonan menerusi saluran di Astro.
“Tiket final habis dijual dalam tempoh 10 minit sebelum aksi separuh akhir bermula, ia amat mengujakan. Ini menunjukkan sokongan peminat untuk sama-sama merasai kemeriahan NSL.
“Penampilan pemain import ternyata membawa impak dan game play yang berbeza. NSL kali ini berada pada satu tahap yang tinggi penuh dengan kejutan dan drama.”
Hasil sambutan yang cukup mengagumkan itu, Nicholas berkata, pihaknya bercadang untuk mengadakan kejohanan tersebut di venue yang lebih besar pada edisi akan datang.
“Kita akan teliti perkara ini (venue baru) sebaik mungkin sebelum ia dimuktamadkan,” jelasnya.
Selain itu Nicholas turut berkongsi mengenai kelainan NSL kali ini yang menembusi pasaran global apabila perlawanan-perlawanan terpilih telah disiarkan di W-Sports (saluran 815) dalam ulasan bahasa Inggeris.
"Aksi tersebut dapat ditonton di benua Afrika, Timur Tengah, Portugal, Belanda dan Indonesia," katanya.
Beliau menambah, pembaharuan turut dibawa ke gelanggang menerusi persekitaran yang menarik menerusi paparan iklan diod pemancar cahaya (LED), selain jersi pemain diperkemaskan dan diberi sentuhan baru.
"Barisan hos, pengulas dan tetamu pakar NSL turut membawakan imej yang lebih segar serta bertenaga pada musim ini.
"NSL juga mencungkil bakat dan memberi peluang kepada pemain atau bekas-bekas pemain untuk mencuba bidang penyiaran sukan," katanya.
Kredit : Sinar Harian