Nicol tidak tolak berlatih sepenuh masa di Malaysia
Astro Arena
May 27, 2017 18:59 MYT
May 27, 2017 18:59 MYT
Ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David tidak menolak kemungkinan untuk kembali menjalani latihan sepenuh masa di Malaysia pada masa akan datang demi perkembangan kariernya.
Nicol baru sahaja dikalungkan gelaran juara kebangsaan buat kali keempat untuk dirinya.
Selepas mengharungi musim yang agak suram pada tahun 2016, ramai pihak menyarankan untuk Nicol pulang berlatih di tanah air.
Jelas Nicol, dia mengakui agak selesa berada di Amsterdam ketika ini di bawah kendalian jurulatihnya, Liz Irving, namun tidak menolak untuk kembali ke Malaysia pada masa hadapan.
Buat masa ini, Nicol masih lagi mendapat bantuan kepakaran dari Malaysia memandangkan dia juga sebahagian daripada atlet Program Podium.
"Saya tidak menolak kemungkinan untuk berlatih di Malaysia. Buat masa ini berlatih di luar negara adalah satu kelebihan kerana dapat mengenali gaya permainan yang berbeza," katanya.
Buat Ivan Yuen, yang turut dinobatkan sebagai juara kebangsaan buat kali pertama, ini merupakan kejayaan yang manis dalam kariernya selepas tujuh tahun mencuba.
Ivan dipaksa bertempur dengan pemain pilihan pertama, Nafiizwan Adnan, dalam perlawanan akhir, yang kesudahannya menyaksikan Ivan menang 10-12, 11-3, 6-11, 12-10, 11-9.
"Kejohanan ini adalah sangat penting kerana dapat menilai tahap prestasi anda dan saya sangat gembira kerana menjuarainya kali ini," kata Ivan.