Bekas rakan sepasukan Neymar di kem Brazil, Willian, percaya penyerang itu berkemampuan untuk membintangi mana-mana pasukan apabila dia terus dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United.

Neymar telah mengharungi pengalaman yang mengecewakan bersama Paris Saint-Germain (PSG) sejak meninggalkan Barcelona pada 2017 dan gagal memenangi Liga Juara-Juara (UCL), malah tidak pernah bermain lebih daripada 22 perlawanan sepanjang musim Ligue 1.

Pemain berusia 31 tahun itu sedang diketepikan untuk baki musim ini berikutan kecederaan buku lali pada Mac lalu yang menyaksikan kelabnya terkandas dalam pusingan 16 UCL kepada Bayern Munich.

Dengan PSG masih ternanti-nantikan kejayaan di peringkat benua, Neymar dan gandingannya, Lionel Messi, telah dikaitkan dengan perpindahan di hujung musim ini.

Old Trafford disebut-sebut menjadi destinasi berpotensi buat bintang Brazil itu selepas kembali ke UCL dan Willian percaya pemain berkenaan mampu berkembang maju di England.

“Neymar, dengan kualiti yang dia ada mampu beraksi di mana-mana sahaja,” kata pemain sayap Fulham itu kepada Stats Perform.




“Ke mana sahaja dia pergi di dunia ini, dia mampu beraksi dengan mudah berdasarkan kualiti yang dia ada, bakat yang dia ada.

"Ia pasti akan menjadi sangat menarik untuk melihatnya bermain dalam Liga Perdana Inggeris (EPL). Ke mana sahaja dia pergi, dia mempunyai kualiti yang diperlukan untuk menikmati dan menjelmakan bola sepak indah.

"Dia mempunyai tempat dalam mana-mana pasukan di dunia untuk kualitinya. Anda hanya perlu tahu jika dia mahu pergi ke United.

"Ia adalah kelab yang hebat. Yang pasti, jika dia pergi ke sana, dia akan berada di kelab besar. Ia adalah sebuah kelab yang telah memenangi banyak kejuaraan di sini, ia dianggap sebagai salah satu kelab terbesar di England di samping Liverpool, Arsenal dan Chelsea, semuanya kelab besar.

"Sekiranya dia datang ke England, tidak syak lagi ia akan menjadi perkara yang hebat untuk melihatnya dalam EPL."