Neymar cedera lagi!

Muzaffar Musa
November 4, 2024 07:23 MYT
Neymar sekali lagi mengalami kecederaan apabila terpaksa dikeluarkan lebih awal ketika Al-Hilal menewaskan Esteghlal 3-0 dalam perlawanan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Kingdom Arena, Riyadh awal pagi tadi.
Dalam perlawanan itu, Aleksandar Mitrovic muncul pemain paling menyerlah dengan menjaringkan hatrik.
Bagaimanapun, kemenangan Al-Hilal itu dicemari dengan kecederaan Neymar, yang hanya dapat beraksi selama 29 minit ketika dimasukkan sebagai pemain gantian dalam babak kedua.
Pemain kebangsaan Brazil itu, yang baru sahaja menjalani rehat panjang selama lebih setahun gara-gara kecederaan lutut serius, terpaksa dikeluarkan lebih awal dan kelihatan mengalami kecederaan pinggul.
Ia juga merupakan hanya penampilan kedua pemain berusia 32 tahun itu selepas pulih sebelum kembali mengalami kecederaan.
Sebagai rekod, Neymar setakat ini hanya dapat beraksi sebanyak tujuh kali dalam Liga Pro Saudi selepas melengkapkan perpindahannya daripada kelab gergasi Perancis, Paris Saint-Germain (PSG), tahun lalu.
#bola sepak #Neymar #Liga Juara-Juara Asia #Al-Hilal #ACLE
;