NBA: Sasaran utama adalah untuk LeBron kekal cergas, kata jurulatih Lakers
Muzaffar Musa
February 2, 2022 14:19 MYT
February 2, 2022 14:19 MYT
Ketua jurulatih Los Angeles Lakers, Frank Vogel, berkata ketiadaan LeBron James adalah sebagai langkah pencegahan bagi mencapai sasaran utama bagi memastikan pemain itu "kekal cergas untuk tempoh panjang".
James belum pasti dapat diturunkan bagi pertemuan menentang Portland Trail Blazers esok gara-gara mengalami bengkak lutut selepas turut tidak terlibat dalam tiga perlawanan terakhir Lakers.
Pemenang Anugerah MVP empat kali itu kembali ke Los Angeles sewaktu pasukannya tewas 121-129 kepada Atalanta Hawks pada hujung minggu lalu -- dilaporkan selepas menjalani ujian imbasan MRI di lutut kirinya.
"Kami masih berusaha untuk mencuba mengurangkan bengkak itu," kata Vogel kepada wartawan.
"Dia belum pasti dapat diturunkan esok. Dia tidak berada di sini hari ini. Dia menjalani rawatan di luar fasiliti kami hari ini."
Pemain berusia 37 tahun itu amat cemerlang di bahagian serangan sebelum mengalami kecederaan itu, di mana dia merakamkan sekurang-kurangnya 25 mata dalam 18 perlawanan berturut-turut.
Tanpa kehadirannya, Lakers kelihatan bergelut di mana mereka kini merekodkan 24-27 tetapi Vogel berkata dia tidak akan terburu-buru untuk menurunkan James semula.
"Sasaran utamanya adalah untuk dia kekal sehat untuk tempoh panjang. Perkara lain tidak sepenting itu. Kami perlu menang ketika ketiadannya," tambah Vogel.
Vogel turut mendedahkan tindakan Lakers tidak menurunkan James dalam tiga perlawanan lalu adalah sebagai langkah pencegahan bagi mengelakkan kecederaan lebih serius dialami pemain itu.