NBA: Lakers pecat ketua jurulatih
Muzaffar Musa
April 11, 2022 06:47 MYT
April 11, 2022 06:47 MYT
Los Angeles Lakers memecat ketua jurulatihnya, Frank Vogel, gara-gara terlepas slot ke playoff NBA.
Vogel berkata bahawa dia tidak diberitahu akan kehilangan jawatannya selepas Lakers menamatkan musim hambar mereka dengan kemenangan 146-141 ke atas Denver Nuggets semalam.
Pengendali berusia 48 tahun itu dilucutkan jawatannya oleh pasukan juara 17 kali NBA berkenaan awal pagi tadi selepas hampir tiga tahun menjalankan tugasnya.
Vogel memacu Lakers memenangi gelaran NBA dalam musim pertamanya dua tahun lalu tetapi tewas kepada Phoenix Suns dalam perlawanan pusingan pembukaan kempen playoff 2021.
Lakers, bagaimanapun, perlu melupakan kempen hambar musim 2021-22, di mana mereka menamatkan Sidang Barat di kedudukan ke-11 dengan rekod 33-49 dan Vogel perlu menerima padahnya.
Thank you, Coach. pic.twitter.com/8eb4Ia9ZqI
— Los Angeles Lakers (@Lakers) April 11, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Naib Presiden Operasi Bola Keranjang dan Pengurus Besar Lakers, Rob Pelinka, berkata: "Saya mempunyai rasa hormat yang tidak terhingga buat Frank, sama ada di luar atau di dalam gelanggang.
"Frank seorang jurulatih yang hebat dan lelaki yang baik. Kami akan sentiasa berterima kasih atas usahanya membantu kami memenangi Kejohanan NBA musim 2019-20.
"Ini merupakan satu keputusan yang amat sukar untuk dibuat tetapi sesuatu yang kami rasa perlu pada ketika ini. Kesemua kami di sini mendoakan yang terbaik buat masa depan Frank dan keluarga hebatnya."