MSSM: Rekod baru kobar semangat Dhuha ke Piala Dunia Renang Akuatik Dunia
Shaiful Shamsudin
September 17, 2024 19:09 MYT
September 17, 2024 19:09 MYT
Pelapis renang kebangsaan, Muhammad Dhuha Zulfikry, memecah rekod kejohanan 100 meter gaya bebas lelaki B-18 untuk menyumbang pingat emas kepada Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) pada hari ketiga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).
Catatan 51.47 saat yang dilakarnya di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil itu berhasil memadam rekod terdahulu iaitu 51.88 saat milik Welson Sim pada 2014.
Dhuha mengakui menganggap kejohanan ini sebagai pemanas badan menjelang tugasan sebenarnya bagi memungut mata kelayakan ke stop 1, Piala Dunia Renang Akuatik Dunia 2024, di Shanghai, China, pada 18 Oktober depan -- yang juga merupakan misi melayakkan diri ke Kejohanan Renang Akuatik Dunia di Budapest, Hungary, 10 Disember kelak.
"Saya berpuas hati dengan renangan sebentar tadi. Catatannya lebih baik daripada Sukma Sarawak.
"Selepas ini saya akan menjalani persiapan untuk layak ke Budapest," katanya.