MSN, Allianz terus bersama sehingga 2028
Najmi Iman
August 29, 2024 20:10 MYT
August 29, 2024 20:10 MYT
Majlis Sukan Negara (MSN) dan Allianz Malaysia Berhad secara rasmi mengumumkan lanjutan kontrak penajaan bagi tempoh empat tahun bagi membantu membiayai program latihan atlet-atlet para negara daripada 2025 sehingga 2028.
Ia adalah komitmen berterusan Allianz yang menjadi rakan penaja MSN bermula pada 2022.
Kontrak baru itu menyaksikan Allianz dilantik sebagai rakan strategik dan penaja utama program atlet-atlet para, termasuk bagi temasya sukan utama seperti Sukan Para Asean 2025 dan 2027, Sukan Para Asia 2026 serta Sukan Paralimpik 2028.
Pengumuman yang dibuat menjelang aksi kontinjen para Malaysia di Paris untuk Sukan Paralimpik 2024 itu adalah bukti keyakinan Allianz Malaysia terhadap atlet-atlet para negara.
Perjanjian rakan strategik itu juga bakal menyaksikan Allianz Malaysia menjadi penaja utama kepada sirkit pertandingan para.
Selain itu, ia membolehkan syarikat berkenaan meneruskan inisiatif program ‘allianz move forward’ dalam memberikan bantuan dan sokongan untuk atlet yang mahu mencari laluan kerjaya baharu selepas bersara daripada menjadi atlet kebangsaan.