MPLMY S14: Selangor Red Giants pertahan gelaran, muncul juara sekali lagi
Saufi Tahir
November 3, 2024 23:15 MYT
November 3, 2024 23:15 MYT
Selangor Red Giants (SRG) muncul juara dua kali berturut-turut Liga Profesional Mobile Legends Bang Bang (MPL) Malaysia musim ke-14 selepas menewaskan Team Vamos 4-2 dalam perlawanan final dengan konsep 'Best Of Seven' yang berlangsung di Iskandar Puteri, sebentar tadi.
SRG bermula dengan langkah kanan dalam Perlawanan 1 selepas mengatasi Team Vamos 13-4 'kills' dengan Muhammad Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman atau lebih dikenali sebagai Sekys menjadi watak penting untuk mamacu kemenangan pertama pasukannya itu.
Perlawanan 2 menyaksikan Team Vamos bermula dengan lebih agresif sekali gus menyukarkan SRG untuk bangkit dan beraksi dengan baik serta membuka kembali peluang dengan mengikat kedudukan SRG 1-1.
Begitupun, anak buah Michael Angelo Bocado hanya memerlukan tempoh 10 minit 3 saat untuk kembali mendahului Team Vamos 2-1 dalam Perlawanan 3 selepas Pemain Jungler Terbaik MPLMY S14 iaitu Sekys yang menggunakan Hero Moskov sekali lagi menjadi watak penting dalam pasukannya itu.
Untuk rekod, tempoh 10 minit 3 saat merupakan tempoh paling singkat pernah dimenangi pasukan dalam MPLMY musim ini.
Juara dunia di MLBB Mid Season Cup (MSC) 2024 itu meneruskan momentum kemenangan dalam Perlawanan 4 selepas menewaskan Team Vamos 22-7 'kills' dengan Muhammad Qayyum Ariffin Bin Mohd Suhairi atau lebih dikenali sebagai Yums memacu kemenangan penting itu.
Pemain Roamer Terbaik MPLMY S14, Mohammad Noor yang dikenali sebagai Xorn, bijak mengawal tempo Perlawanan 5 untuk menang 11-2 menafikan mata terakhir yang diperlukan SRG serta merapatkan jurang mata kedudukan menjadi 2-3 dalam Perlawanan 5 untuk menang 11-2 'kills'.
Skuad kendalian jurulatih Khairul Sharif atau dikenali sebagai Pabz gagal meneruskan rentak kemenangan apabila terpaksa akur untuk tewas dalam Perlawanan 6 untuk SRG mempertahankan gelaran juara sekali gus menjadi pasukan pertama yang menang dua kali berturut-turut dalam saingan MPL Malaysia.
Stormie atau lebih dikenali sebagai Hazziq Rizwan muncul Pemain Paling Bernilai setelah menjadi watak penting dalam memacu pasukannya muncul juara sekali lagi.
SRG dan Team Vamos bakal mewakili Malaysia di Kejohanan Dunia M6 hujung tahun ini.