MotoGP: Rossi hampir pasti sertai SRT musim depan
Muzaffar Musa
September 23, 2020 19:11 MYT
September 23, 2020 19:11 MYT
Prinsipial pasukan Yamaha Petronas SRT, Datuk Razlan Razali, mengesahkan juara dunia tujuh kali Kategori Perdana MotoGP, Valentino Rossi, hampir pasti akan menyertai pasukan itu musim depan dan satu pengumuman rasmi akan dibuat Sabtu ini.
Menerusi satu temu bual eksklusif bersama Nadi Arena, Razlan turut menyentuh mengenai peluang pelumba tempatan bagi musim 2021.
"Sebenarnya dia (Rossi) sudah lama bersetuju (menyertai SRT) cuma kami saahaja yang agak waswas kerana perlu menjaga hak kepentingan pasukan ini," katanya menerusi satu perbualan video bersama pewarta Nadi Arena, Akhbar Sahari.
"Perjanjian ini melibatkan tiga pihak iaitu SIC (Litar Antarabangsa Sepang), Yamaha dan Valentino.
"Valentino memang mahu menyertai kami tetapi kami perlu melindungi kepentingan pasukan ini.
"Kami mengadakan mesyuarat untuk musim depan dan masih dalam proses akhir untuk menyediakan kontrak di antara SIC, Valentino dan Yamaha," katanya.
Mengenai masa depan barisan pelumba negara, Razlan menambah: "Dalam masa yang sama, kami perlu mengikut apa yang dikehendaki oleh rakan kongsi dan penaja kami dan akan membentangkan nama-nama pelumba yang kami inginkan untuk saingan musim depan.
"Rakan kongsi dan penaja kami akan membuat keputusan sama ada mereka bersetuju atau tidak."