MotoGP: Andrea Dovizioso umum perlumbaan terakhir bulan depan

Shaiful Shamsudin
August 5, 2022 09:25 MYT
Andrea Dovizioso mengumumkan akan menamatkan kariernya dalam MotoGP sejurus Grand Prix (GP) San Marino bulan depan.
Pelumba Itali itu tidak akan bersama Yamaha lagi selepas sekadar mengutip 10 mata daripada 11 pusingan tahun ini.
Dovizioso berada di tempat ke-22 dalam kedudukan kejuaraan selepas menandatangani kontrak penuh dengan pasukan Iwata itu sebelum memutuskan untuk bersara di laman sendiri, Litar Dunia Misano Marco Simoncelli, pada 4 September depan.
Pelumba ujian Yamaha, Cal Crutchlow, dijangka menggantikan pelumba berusia 36 tahun itu untuk enam pusingan terakhir musim ini, bermula dalam GP Aragon.
Pengarah Urusan Yamaha Motor Racing, Lin Jarvis, berkata: "Saya mahu mulakan berita ini dengan mengatakan bahawa sudah tentu kami bersedih kerana Andrea akan meninggalkan sukan ini lebih awal daripada yang disangkakan. Dia adalah nama besar dalam MotoGP, dan kelibatnya akan dirindui di padok.
“Kami menganggap diri kami sangat bertuah tahun lalu kerana berhasil mendapatkan khidmatnya selain dia sudi menyertai program MotoGP kami apabila Franky (Franco Morbidelli) beralih ke Pasukan Kilang Yamaha, sekali gus mewujudkan keperluan untuk pelumba gantian bagi baki musim 2021.

Andrea Dovizioso has just announced his plan to retire from #MotoGP after the #SanMarinoGP ? Join us as we discuss it all and look back on Dovi's illustrious career ?#GrazieDovi https://t.co/MJBcNlx5lM

— MotoGP™? (@MotoGP) August 4, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Kepakaran hebatnya, pengalaman dan gaya semula jadinya cukup menarik minat Yamaha dan pasukan RNF, projek itu disasarkan untuk 2022.
"Malangnya, Andrea bergelut untuk menyerlahkan potensi maksimumnya menerusi jentera M1 dan sebab itulah keputusan perlumbaan tidak menyebelahinya. Ia memberi kekecewaan besar terhadap Andrea. Akhirnya ketika cuti musim panas lalu, dia mengesahkan kepada kami keinginannya untuk bersara sebelum musim ini berakhir.
"Selepas mengadakan perbincangan, adalah dianggap wajar untuk Andrea menunggangi perlumbaan terakhirnya di laman sendiri, Misano. Yamaha akan terus memberikan sokongan penuh kepada Dovi dalam tiga perlumbaan seterusnya.
"Sementara itu, ayuh nikmati tiga perlumbaan terakhirnya dan raikannya di Misano bagi menutup kerjayanya yang menakjubkan."
#motoGP #Andrea Dovizioso #Yamaha
;