Menang jadi arang, kalah jadi abu

Dayne Azmin
December 5, 2016 10:00 MYT
Sehingga saat ini, masih belum ada sebarang petanda masalah membabitkan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan kerajaan negeri yang turut mengheret PKNS ke dalam kancah permasalahan antara dua pihak.
Biarpun pihak Usahasama Terhad Liabiliti Bola Sepak Malaysia (FMLLP) telah berikan tempoh anjakan sehingga 9 Disember kepada PKNS untuk menyelesaikan isu pendaftaran mereka, tiada petanda positif dilihat akan terjadi.
Berdasarkan maklumat terkini yang diterima, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dijangka akan terus berdegil dan tidak akan melayan tuntutan FAS yang mahukan dana bagi perbelanjaan musim 2017.
Jika keputusan ini benar, maka PKNS berdepan kesulitan besar beraksi di Liga Malaysia kerana pasti tidak akan dapat sokongan FAS sebagai syarat penyertaan kerana tidak mendapat bantuan kewangan dari kerajaan negeri.
Malahan PKNS tidak pasti sama ada jalan alternatif lain berdasarkan undang-undang untuk benarkan mereka beraksi pada tahun depan.
Persoalannya, mengapa situasi ini berterusan dan sanggupkah ramai pihak melihat kepentingan bola sepak Selangor serta PKNS bersama-sama terkorban?
Tiada siapa meraih keuntungan jika salah satu pihak enggan mengalah terlebih dahulu dan kesimpulan yang pasti terjadi, Selangor berdepan masalah kewangan manakala PKNS tidak akan bermain di Liga Malaysia tahun depan.
Mengekalkan keegoan politik bukan penyelesaian terbaik menamatkan kebuntuan dan jalan perundingan perlu dilakukan bagi tamatkan konflik.
Sekadar menghantar surat permohonan dana kepada kerajaan negeri, ia belum cukup melembutkan hati Azmin yang mungkin terkesan tindakan majoriti Exco FAS memulaukan mesyuarat ahli majlis mengenai isu penswastaan pasukan.
Jalan terbaik, kedua-dua pihak kena duduk semeja serta lakukan pertemuan empat mata bagi mencari titik pertemuan demi kelangsungan bola sepak Selangor.
Ketepikan rasa ego dalam diri, sebaliknya fikirkan masa depan pemain yang pasti akan bergantung tidak bertali sementara peminat akan terduduk kecewa.
#Blog
;