Memphis Grizzlies terlepas tiga perlawanan lagi

Shaiful Shamsudin
January 22, 2021 08:01 MYT

NBA mengumumkan tiga perlawanan melibatkan Memphis Grizzlies yang seterusnya akan ditunda berhubung protokol COVID-19.

Pertemuan mereka dengan Portland Trail Blazers telah dibatalkan pertengahan minggu ini gara-gara Grizzlies tidak mempunyai minimum lapan pemain yang diperlukan untuk beraksi.
Kedua-dua pasukan sepatutnya beraksi hari ini, namun ia sekali lagi tidak menjadi seperti yang dirancangkan.
Perlawanan berturut-turut berdepan Sacramento Kings pada hari Ahad dan Isnin ini juga terpaksa ditunda memandangkan pemain Grizzlies belum bersedia selain usaha menjejaki kontak rapat.
"Perlawanan ini ditangguhkan kerana pemain belum bersedia untuk mewakili Grizzlies dan jejak kontak ke tas pemain lain juga sedang giat dijalankan bagi memastikan kesihatan dan keselamatan pemain kedua-dua pasukan," kata NBA dalam satu kenyataan.
Secara keseluruhan, 20 perlawanan NBA telah ditunda ketika dunia sedang menangani gelombang terbaru COVID-19.
The Grizzlies merekodkan pencapaian 7-6 pada musim ini selain mencipta lima kemenangan berturut-turut.
Berikutan penangguhan itu, perlawanan mereka yang seterusnya adalah pada Rabu depan apabila akan melayani kunjungan Chicago Bulls.

#Memphis Grizzlies #NBA
;