Masters Korea: Peluang Aaron Chia-Soh Wooi Yik padam kemarau kejuaraan
Shaiful Shamsudin
November 9, 2024 18:24 MYT
November 9, 2024 18:24 MYT
Aaron Chia-Soh Wooi Yik hanya selangkah lagi untuk mengesahkan pemburuan kejuaraan Masters Korea selepas beregu utama lelaki negara itu menewaskan lawan mereka dalam permainan set straight untuk mara ke final.
Aaron-Wooi yang merupakan pilihan utama acara Super 300 itu menundukkan gandingan Taiwan, Wang Chi-lin/Chiu Hsiang Chieh 21-17, 21-16 dalam masa 36 minit untuk mara ke final kedua Jelajah Dunia tahun ini.
Beregu nombor enam dunia itu menggunakan pengalaman yang ada ketika terikat 17-17 sebelum mengutip empat mata berturut-turut dan mengekalkan rentak sama untuk mengesahkan kemenangan straight set.
Berdasarkan prestasi hari ini, Aaron-Wooi Yik dijangka mampu melepasi rintangan terakhir esok.
Mereka perlu mengatasi wakil tuan rumah, Jin Yong/Kim Won-ho, bagi memastikan gelaran pertama mereka pada tahun ini.
Kali terakhir pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris itu mara ke perlawanan akhir ialah dalam Kejohanan All-England yang berlangsung Mac lalu.