Masters Korea: Aaron-Wooi Yik selesa mara ke separuh akhir
Ammar Hakim
November 8, 2024 16:06 MYT
November 8, 2024 16:06 MYT
Pilihan utama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, melangkah ke separuh akhir Kejohanan Badminton Masters Korea menerusi kemenangan 21-17, 21-12 ke atas wakil tuan rumah, Kim Jae-hyeon-Lee Sang-won.
Wakil negara itu merupakan pilihan untuk memenangi acara Super 300 itu, dan berdasarkan persembahan mereka dalam suku akhir, ia seperti telah tertulis untuk mereka mara jauh dalam kejohanan kali ini.
Kim-Lee mendahului set pertama 9-6, namun ia terbukti satu-satunya peluang mereka di hadapan sebelum Aaron-Wooi Yik mengambil alih kawalan permainan.
Selepas set pertama berjaya dimenangi, mereka mempamerkan aksi yang lebih cemerlang ditambah kemahiran pukulan yang dipamerkan Aaron membuktikan dominasi mereka.
Kemenangan Malaysia berjaya dinoktahkan dalam tempoh 33 minit, dan pemain keenam dunia itu bakal berdepan wakil Taiwan, Chiu Hsiang-chieh-Wang Chi-lin atau Xie Hao Nan-Zeng Wei Han dari China dalam usaha ke final.
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik dua kali bertanding dalam acara ini untuk mendapatkan semula kecergasan perlawanan kompetitif selepas Wooi Yik mengalami kecederaan patah kaki selepas Sukan Olimpik Paris.