Masters Jepun: Leong Jun Hao singkir Jonatan Christie untuk ke final

Shaiful Shamsudin
November 16, 2024 14:11 MYT
Perseorangan negara, Leong Jun Hao, ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton Masters Jepun selepas mempamerkan prestasi luar biasa ketika menyingkirkan Jonatan Christie dalam pertarungan selama 1 jam 17 minit di Kumamoto, sebentar tadi.
Persembahan set pertama tidak begitu memberangsangkan menyaksikan Jun Hao bergelut untuk menyambut pukulan-pukulan tajam pemain Indonesia yang menduduki ranking jelajah ke-17 itu apabila menyerah mudah 10-21.
Tetapi lain pula cerita dalam set berikutnya, dia yang mengenepikan Lakhsya Sen dan Kodai Noraoka lebih agresif melancarkan pukulan kencang sambil pukulan kemas ke garis belakang.
Jun Hao tidak diberikan laluan mudah untuk sebelum beroleh kemenangan 21-18 dalam set kedua itu.
Jonatan, bagaimanapun, kembali menguasai gelanggang sambil memaksa Jun Hao membuat kesilapan sendiri.
Namun, Jun Hao membuktikan kecekalannya di pertengahan aksi getir itu menerusi permainan rali diselangi pertahanan kemas yang kerap memerangkap Jonatan untuk memungut enam rentetan mata sebelum mengikat kedudukan 18-18.
Setiap mata selepas itu dihidangkan dalam bentuk yang mendebarkan yang menyaksikan Jun Hao terlebih dahulu mencapai mata akhir sebelum menerajui dius.
Jun Hao terpaksa terbang demi menyambut pukulan jaring sebelum membenamkan bulu tangkis ke arah kanan yang memerangkap lawannya, sekali gus mencipta kemenangan sensasi 23-21 dalam pertemuan ketiga mereka itu.
#badminton
;