Marquez jangka Lorenzo tampil hebat bersama Honda
Penulis Jemputan
June 13, 2018 06:00 MYT
June 13, 2018 06:00 MYT
Marc Marquez yakin bahawa Jorge Lorenzo akan melalui peralihan pasukan yang lancar dari Ducati ke Repsol Honda, musim depan.
Lorenzo mencipta kejutan minggu lalu apabila juara dunia MotoGP tiga kali itu mengumumkan telah bersetuju dengan kontrak selama dua tahun untuk menyertai pasukan seterunya, Marquez.
Sejak berhijrah ke Ducati dari Yamaha pada 2017, Lorenzo dilihat bergelut untuk mencapai tahap terbaik dan hanya meraih kemenangan pertamanya di dalam perlumbaan musim ini di Mugello, bulan ini.
Bagaimanapun, Marquez yakin Lorenzo tidak akan berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dengan jentera Honda dan menjangkakannya segera tampil dengan prestasi hebat.
"Jentera Honda jelas sekali berbeza berbanding jentera Yamaha tetapi ia lebih kepada ciri-ciri Ducati," kata Marquez.
"Ia akan membantu kerana dia datang dari Ducati. Dalam masa sama, dia adalah penunggang yang hebat. Setiap pelumba yang bertaraf dunia mungkin memerlukan satu perlumbaan, satu hari atau setahun. Anda tidak akan tahu.
"Bagaimanapun, dia pasti akan mencapai aksi terbaiknya," tambahnya.
Marquez juga memandang positif saingan yang akan diberikan Lorenzo apabila bakal berentap menerusi pasukan yang sama.
"Saya sudah mengatakan sebelum pengumuman itu bahawa apa yang penting adalah memiliki rakan sepasukan yang mantap kerana ia akan meningkatkan tahap pasukan.
"Amat penting adalah ia melibatkan pelumba yang berpengalaman dan mampu memberi banyak maklumat kepada pasukan.
"Honda menjalankan tugas dengan baik."