Marc Maquez beri isyarat transisi ke Ducati bakal ledak sesuatu berbeza!

King Hisyam
November 30, 2023 13:53 MYT
Juara Dunia MotoGP enam kali, Marc Marquez memberi isyarat awal bahawa tindakanya untuk menyertai pasukan Gresini Racing adalah tepat dan bakal menampilkan kekuatan saingan baharu yang berbeza menjelang musim baharu MotoGP 2024 bersama jentera Ducati nanti.
Malah, pelumba Sepanyol itu kelihatan agak selesa dengan Ducati GP23 dalam sesi ujian tunggangan yang diadakan di Litar Ricardo Tormo Selasa lalu.
Marquez nyata memberikan aksi yang agak memberangsangkan dalam lapan pusingan yang dilakukan apabila mampu mencatatkan masa terpantas 1 minit 30.414s.
Jentera yang dipercayai digunakan oleh Johann Zarco untuk bersaing sepanjang musim ini bersama Pramac Ducati itu, kelihatannya begitu cepat diselarikan dengan corak tunggangan Marquez.
Walaupun catatan masa itu merupakan yang ketiga terpantas berbanding pelumba lain, namun ia sudah cukup memberikan isyarat yang positif bahawa dia mampu mencatat sesuatu yang lebih besar.
Justeru tanggapan bahawa Marquez pastinya akan memerlukan masa lama untuk menyesuaikan diri bersama jentera buatan Itali itu mungkin sedikit tersasar jika disandarkan dengan tahap aksi tunggangan yang ditunjukan dalam 'debut' pertamanya.
Bagaimanapun tiada sebarang ulasan yang dikeluarkan Marquez sejurus sesi tersebut untuk mengetahui sejauh manakah dia melihat kesesuaianya bersama jentera harapan terbaharunya itu.
Sudah pastinya ia masih terlalu awal untuk mengukur keupayaan sebenar gabungan kekuatan yang dimiliki Marquez dengan jentera tersebut melainkan total teruji sepenuhnya pada saingan musim baharu MotoGP nanti.
Tentu akan ada perbezaan ketara dalam corak pengendalian diantara jentera Honda dan Ducati yang pasti memerlukan kebijaksanaan Marquez dalam mencari henjutan maksimum yang dikehendaki pelumba itu secepat mungkin.
Peminat perlumbaan motosikal paling elit di dunia MotoGP sudah pastinya tidak sabar untuk menyaksikan sendiri penampilan terbaharu Marquez bersama Ducati memandangkan dia agak terlalu lama bersama pasukan Honda sebelum ini.
Walaupun begitu cemerlang dengan sejarah kemenangan yang dilakar bersama pasukan itu, peminat memang teruja untuk melihat sejauh manakah kejayaan yang mampu dicapai Marquez atas transisi perubahan yang dilakukanya.
Terkenal dengan aksi tunggangan agresifnya, mampukah rekod cemerlang Marquez sebelum ini dapat diulangi semula bersama Ducati?..sesuatu yang pasti kita nantikan.
Marquez telah berlumba selama 11 musim bersama Honda dengan memenangi 59 aksi grand prix dan merangkul enam gelaran dunia MotoGP antara 2013 hingga 2019
Untuk rekod kontrak Marquez bersama Honda sebenarnya hanya akan berakhir pada hujung tahun ini.
#motoGP #Marc Marquez #Sukan Permotoran #Rencana
;