Di ambang pencapaian bersejarahnya, Manchester City tampil mempertahankan bahawa kejayaan kelab itu tidak boleh ‘dipersalahkan’ kepada kesanggupan berbelanja besar dalam pasaran perpindahan pemain.

Menempelak sebarang tanggapan sedemikian, The Citizens sebaliknya mengalihkan tumpuan kepada kelab-kelab pesaing, Manchester United, Chelsea dan Arsenal yang melaburkan lebih dana dalam ‘memperkayakan’ pasukan.

City semakin hampir kepada kejayaan ‘treble’ musim ini selepas mengaibkan Real Madrid dalam laluannya ke final Liga Juara-Juara UEFA (UCL, berpeluang cerah mengekalkan trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) di samping akan membuat perhitungan dengan United dalam final Piala FA.

Dengan Pep Guardiola di kerusi pengurus, kelab itu telah berupaya memanjat ke aras baru di sebalik dakwaan kononnya kelab itu meraih trofi demi trofi dengan berbelanja besar dalam mendapatkan pemain ternama.

Malah, pencapaian kelab itu musim ini turut dicemari langkah EPL mendakwa mereka dengan lebih 100 perlanggaran peraturan kewangan yang melangkaui beberapa musim.

Apa pun yang sudah diperkatakan terhadap City, ketua pegawai eksekutifnya, Ferran Soriano, tetap bertegas bahawa kelab itu tidak berbelanja keterlaluan jika dibuat perbandingan dengan beberapa kelab pesaing utama.





“Anda hanya perlu lihat kepada pelaburan ke atas pemain-pemain di England sepanjang satu, tiga atau lima tahun lalu,” katanya kepada Movistar selepas kemenangan ke atas Madrid dalam perlawanan peringkat kedua separuh akhir di Etihad.

“Kami bukanlah kelab yang berbelanja terbesar terhadap pemain. Banyak kelab lain -- Chelsea, Manchester United, Arsenal -- yang melaburkan lebih banyak wang daripada kami.

“Untuk sesiapa mengatakan kami telah berbelanja besar dan menang kerana itu, ternyata tidak benar,” tambahnya seperti dipetik oleh Daily Mail.

Demi berlaku adil kepadanya, angka-angka yang dirangkumkan oleh Transfermarkt mendedahkan bahawa Chelsea adalah kelab yang berbelanja terbesar sebanyak £1.82 bilion (RM10.26 bilion) sepanjang satu dekad lalu.

Sebaliknya, City telah melaburkan £1.5 bilion (RM8.46 bilion), disusuli oleh United dengan £1.45 bilion (RM8.18 bilion).

Soriano turut teruja dengan peluang City untuk menjulang trofi UCL buat kali pertama dalam sejarah sambil menganggap trofi itu sesuatu yang simbolik.

“Kami bekerja keras tiap hari untuk EPL kerana ia satu pertandingan yang sukar untuk dimenangi. Jika kami melakukannya tahun ini, ia akan menjadi kali ketiga berturut-turut dan yang kelima dalam enam tahun.




“Daripada pengalaman, saya tahu anda tidak boleh bersandarkan kepada strategi untuk memenangi Liga Juara-Juara.

“Ia juga bergantung kepada undian dan faktor lain. Tapi, apabila kami memenanginya, yang pastinya akan tiba pada suatu hari, ia akan menjadi sesuatu yang simbolik,” katanya lagi.

Suatu hari yang dimaksudkannya itu mungkin sudah terlalu hampir.