MABA yakin penambahan pasukan beri kesan positif

Penulis Jemputan
November 23, 2017 13:10 MYT
Bilangan penyertaan pasukan yang meningkat bagi Kejohanan Piala Agong 2017 memberikan petanda positif buat Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) untuk mencari pemain yang mampu digilap bagi mewakili pasukan kebangsaan.
Walaupun kualiti lebih menjadi keutamaan berbanding kuantiti, peningkatan jumlah penyertaan pasukan disambut baik oleh MABA.
Setiausaha Agung MABA, Datuk Lee Yuen Fong, menyifatkan penambahan pasukan itu dapat membuka peluang buat pemain-pemain menonjolkan kemampuan.
"Kami juga dapat melihat peningkatan jumlah penyertaan. Tahun lalu, kami memiliki 11 pasukan untuk lelaki tetapi mendapat 15 pasukan pada tahun ini," katanya.
Dalam masa sama, Piala Agong juga bakal menampilkan format tiga lawan tiga buat kali pertama selepas kategori itu mendapat perhatian dan akan dipertandingkan dalam Sukan Olimpik Tokyo 2017.
"Bagi wanita, kami menerima 10 penyertaan berbanding enam dalam edisi sebelum ini. Kami juga memperkenalkan acara tiga lawan tiga pada tahun ini," ujarnya lagi.
Kejohanan Piala Agong edisi ke-59 bakal menyaksikan Selangor selaku tuan rumah dan akan berlangsung dari 18 hingga 25 Disember di Cyberjaya.
#Piala #2017” #“Datuk #Lee #“Bola #“Kejohanan #“MABA” #Agong #Fong” #Keranjang” #Yuen
;