Liverpool antara pasukan terbaik Eropah, kata Alonso menjelang kepulangan ke Anfield
Muzaffar Musa
November 5, 2024 12:58 MYT
November 5, 2024 12:58 MYT
Ketua jurulatih Bayer Leverkusen, Xabi Alonso, memuji bekas kelabnya dengan berkata Liverpool merupakan antara pasukan terbaik Eropah pada ketika dia sedang mempersiapkan diri bagi kepulangan ke Anfield.
Alonso, yang menghabiskan tempoh lima tahun di Anfield dan membantu Liverpool memenangi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada 2005, akan kembali ke gelanggang itu sebagai pelawat apabila Leverkusen akan bertemu The Reds awal pagi esok.
Arne Slot, dalam pada itu, memenangi 12 daripada 14 perlawanan pertamanya sebagai pengurus Liverpol, termasuk tiga dalam saingan UCL setakat ini.
Leverkusen hanya memenangi satu daripada 11 perlawanan peringkat Eropah dalam tandangan ke England (3 seri, 7 kalah) dan tewas dalam dua kunjungan terakhir ke Anfield, dan Alonso sedar cabaran besar yang akan dihadapi pasukannya.
"Bagi kami, ia satu cabaran besar. Liverpool pada ketika ini antara pasukan terbaik di Eropah.
"Mereka telah membuktikannya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dan UCL. Skuad yang mantap, jurulatih yang bagus.
"Kami tidak sabar untuk melaluinya. Ayuh lihat apa yang akan berlaku.
"Anda boleh bermain hebat selama 70 minit tetapi tewas 20 minit terakhir, jadi kami perlu bersedia secara mental dan fizikal.
"Di semua bahagian, mereka amat kuat, jadi proses yang sedang dilalui mereka amat menjadi. Slot sudah melakukan tugas yang luar biasa sepanjang tiga bulan ini," katanya.