Pemain naturalisasi Terengganu FC (TFC), Liridon Krasniqi, menzahirkan kemaafan kepada peminat selepas gagal membantu pasukan kesayangan mereka mara ke pentas final Piala FA musim ini.

Skuad Peteh kalah 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti kepada Kuala Lumpur (KL) City FC pada separuh akhir di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, kelmarin.

Ekoran kekalahan itu, Krasniqi dikecam peminat di media sosial setelah dia gagal menyudahkan sepakan penalti keempat TFC sekali gus memberi kemenangan kepada KL City.

Krasniqi yang juga dikenali sebagai Mat Don menerusi satu hantaran di laman Instagramnya menyelitkan sekeping foto menggambarkan permohonan maaf.


"Kami tewas dalam aksi separuh akhir dan ia amat mengecewakan, namun saya tetap berbangga dengan pasukan ini.

"Kami tampil ke padang dengan penuh semangat dan memberikan yang terbaik. Kami bertarung selama 120 minit hingga ke saat terakhir dan sudah melakukan sedaya upaya berdepan lawan.




"Kami bermain dengan sepenuh hati, berani dan mempamerkan semangat kesukanan yang sebenar.

"Ia memang memedihkan, tetapi kami hanya boleh meningkat dari sini, belajar daripada kesilapan dan cuba tampil dengan lebih baik," katanya.

Di sebalik kekecewaan itu, Mat Don melahirkan penghargaan ke atas para peminat setia skuad Peteh.

"Terima kasih kepada setiap orang yang sentiasa bersama kami dalam keadaan senang mahupun susah.



"Kami berjanji akan membanggakan anda pada masa akan datang, insya-ALLAH. Dia (ALLAH) mempunyai perancangan yang lebih baik untuk kita," luah Krasniqi.

Pemain berusia 31 tahun yang beraksi secara pinjaman dari Johor Darul Ta'zim (JDT) sebelum ini turut pernah dikecam kerana persembahan hambar bersama skuad Harimau Malaya.

"Terima kasih kepada setiap orang yang sentiasa bersama kami dalam keadaan senang mahupun susah.

Kredit: Sinar Harian