Liga Super: Tommy Mawat hembus nafas lega rayuan diterima

Najmi Iman
December 5, 2024 19:10 MYT
Pertahanan Perak, Tommy Mawat Bada, menerima peringatan penting daripada barisan kejurulatihan Sang Seladang berhubung insiden pergaduhannya bersama bintang Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi, bulan lalu.
Ketika ditemu bual oleh wartawan Astro Arena, Fina Nasrom, Tommy menjelaskan keadaan semasa mengenai dirinya selepas menjalani tempoh pergantungan yang dikenakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
"Pihak pengurusan Perak sudah membuat rayuan dan menerima maklum balas terhadap pengurangan tersebut minggu lalu.
"Sebab itu saya dapat diturunkan atas kepercayaan jurulatih. Mereka menasihati supaya bertenang dan elakkan perkara itu berulang lagi," katanya di Nadi Arena.
Pemain berusia 29 tahun itu menghembus nafas lega ekoran pengurangan hukuman itu memberi kesan besar kepada prestasinya.
"Sebelum ini, hukuman pergantungan tiga aksi memang cukup lama bagi saya. Ia akan menjejaskan stamina dan prestasi.
"Saya berasa bersyukur dapat bermain malam tadi," tambahnya.
#bola sepak #Liga Super Malaysia #Perak #Tommy Mawat Bada
;