Liga Super: Situasi bola sepak Kedah membimbangkan


October 19, 2024 08:22 MYT
Jualan tiket perlawanan Liga Super Malaysia di antara Kedah Darul Aman (KDA) dan Terengganu yang tidak memberangsangkan pada malam ini disifatkan sebagai membimbangkan.
Kedah melalui Facebook rasminya memaklumkan jualan dalam talian hanya terjual 166 tiket setakat semalam dan jumlah itu sedikit meningkat berbanding 43 tiket pada Khamis.
Perkara itu turut mendapat perhatian parti politik iaitu cawangan UMNO Kedah yang menyifatkan situasi berkenaan membawa satu petunjuk bahawa peminat sudah muak dan tidak lagi menaruh harapan kepada pasukan bola sepak negeri.
Menurut Ketua Penerangannya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, bola sepak negeri tersebut perlu diselamatkan dengan kadar segera dan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, perlu pantas membantu menyelesaikan kemelut kewangan Sang Kenari.
"UMNO Kedah sedia maklum akan beberapa siri pertemuan pengurusan Kedah bersama Menteri Besar yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA).
"Namun apa yang menjadi persoalan, maklum balas yang diperolehi hakikatnya hambar dan tidak meyakinkan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Jelas Shaiful Hazizy, UMNO Kedah memohon agar semua pemegang taruh bola sepak Kedah seperti persatuan dan kelab-kelab penyokong bersatu hati memberi tekanan kepada Muhammad Sanusi untuk membantu pasukan utara tanah air itu.
Sang Kenari dijangka melalui lima lagi aksi Liga Super iaitu tiga perlawanan pada Oktober dan dua perlawanan pada November.
Muhammad Sanusi bagaimanapun berkata, sebarang bentuk bantuan perlu disalurkan menerusi KFA dan pengurusan KDA FC diminta mengadakan pertemuan dengan KFA bagi membincangkan perkara itu.
“Kerajaan negeri kena salurkan (bantuan) menerusi KFA, KFA akan tolong, kita tak boleh buat secara langsung dengan syarikat swasta (yang uruskan Kedah)," katanya.
Kredit -- Sinar Harian
#liga super #bola sepak #Liga Super Malaysia #Kedah Darul Aman #DemiLigaKita
;