Liga Super: KL City kecundang di tangan sembilan pemain Kuching City

Ammar Hakim
October 26, 2024 22:01 MYT
Kuching City yang terpaksa menamatkan perlawanan dengan sembilan pemain berjaya membenam KL City 3-1 dalam aksi Liga Super sebentar tadi.
Bermain di Stadium Negeri, Sarawak digunakan sebaiknya Kuching City dengan selesa di hadapan seawal 48 saat berpunca pertahanan KL City, Giancarlo Gallifuoco yang melakukan jaringan sendiri.
Kuching yang berada di kedudukan lebih baik, keempat dalam liga seterusnya mengukuhkan keadaan dengan jaringan seterusnya, dan kali ini Petrus Shitembi menjadi duri dalam daging buat KL City.
Ada tanda kebangkitan menerusi corak permainan KL City pada babak kedua, satu situasi melibatkan pelanggaran James Okwuosa dengan Brendan Gan menyebabkan semakan VAR dilakukan pada minit ke-58.
Hasilnya, KL City dikurniakan sepakan penalti dan lebih malang Okwuosa dilayangkan kad merah.
Paulo Josue bertindak selaku penjaring gol yang merupakan ke-10 buat dirinya musim ini.
Harapan buat KL City bangkit bersifat seketika, berbaki 30 minit dengan hanya 10 orang pemain Kuching dihadiahkan pula sepakan penalti selepas Shitembi dibentes dalam kawasan penalti. Tchetche Kipre tiada masalah selesaikan tanggungjawab tersebut.
Belum habis raikan jaringan satu lagi kad merah dilayangkan, dan Tchetche dihantar keluar padang.
Bermain dengan sembilan pemain, KL City terus berusaha mendapatkan gol tambahan sehingga masa tambahan yang melewati lapan minit, bagaimanapun Kuching berjaya bertahan bagi memastikan kemenangan selesa di laman sendiri.
#liga super #KL City #Kuching City
;