Kelantan FC tampak serius untuk memperbaiki pasukan bagi mengharungi baki saingan Liga Super apabila mendapatkan lima pemain import dalam jendela perpindahan kali ini.

Skuad pantai timur itu merekrut dua penyerang dari Sepanyol, iaitu Youssef Ezzejjari dan bekas penyerang Kedah Darul Aman FC, Dennis Buschening, untuk import kuota Asia.

Selain itu, Kelantan turut mendapatkan bekas penjaga gol bawah 19 tahun Iran, Aliakbar Ahmadi, pertahanan tengah, Alie Sesay dari Sierra Leone, dan pemain tengah Mesir, Ahmed Magdy.

Kelantan telah melepaskan beberapa pemain, termasuk tonggak importnya, iaitu Miguel Cifuentes, Mario Aques, Ismaheel Akinade dan Nuha Marong, secara persetujuan bersama sebelum jendela perpindahan kedua dibuka.

Pasukan kendalian Angel Alfredo Vera itu sebelum ini dikenakan sekatan perpindahan pemain susulan kegagalan menghantar bukti bayaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selain tunggakan gaji pemain serta pegawai bagi tempoh April dan Mei lalu.

Bagaimanapun, sekatan itu ditarik balik oleh badan bebas First Instance Body (FIB) baru-baru ini selepas pasukan itu menyelesaikan kesemua tunggakan berkenaan.

Kelantan ketika ini berada di kedudukan terbawah liga dengan hanya lima mata selepas merekodkan satu kemenangan, dua seri dan 15 kekalahan daripada 18 perlawanan.

Kredit: Sinar Harian