Kejayaan Kedah Darul Aman (KDA) FC bangkit menewaskan Sabah FC 2-1 di Stadium Darul Aman malam tadi memastikan pasukan itu naik satu anak tangga di kedudukan keempat Liga Super selepas 13 perlawanan.

Pengendalinya, Nafuzi Zain, berkata sasaran untuk berada di kelompok empat pasukan terbaik selepas tamat pusingan pertama Liga Super berjaya direalisasikan selepas berdepan cabaran sukar, namun masih perlu bekerja keras dalam baki saingan liga musim ini.

Menurutnya, semua pemainnya telah menunjukkan semangat dan karakter permainan yang diharapkan, malah tidak mengalah walaupun ketinggalan satu gol.

"Kita tahu ini adalah tahun pertama saya bersama Kedah dan saya gembira berada di kelompok empat teratas dalam pusingan pertama. (Namun) kita tahu banyak lagi kerja keras perlu dilakukan.

"KDA FC ketinggalan gol awal kepada Sabah FC tetapi pemain tidak mengalah, malah bersemangat mencipta ruang dan peluang serta menjaringkan gol penyamaan dan juga kemenangan.

"Corak permainan mereka sudah banyak meningkat walaupun masih banyak kelemahan dan persefahaman yang perlu diberikan perhatian," katanya dalam sidang media.

Lee Tuck muncul wira Sang Kenari apabila menjaringkan gol pada minit ke-40 dan 72 bagi memadamkan gol awal pelawat menerusi Gabriel Peres seawal minit ke-8.

Mengulas dua jaringan Lee Tuck itu pula, Nafuzi mengakui komitmen yang diberikan oleh pemain itu dan dia berada pada masa serta posisi yang tepat untuk menjaringkan dua gol berkenaan.

"Prestasi yang ditunjukkan oleh Lee Tuck membuatkan ramai gembira, terutama penyokong Kedah," ujarnya.

Kredit: Sinar Harian