Liga Super: Di sebalik isu kewangan, pemain Kedah letak masalah tepi padang untuk berikan segalanya
October 20, 2024 11:38 MYT
Kemenangan dramatik Kedah Darul Aman (KDA) ke atas Terengganu 1-0 dalam saingan Liga Super 2024-2025 semalam di Stadium Darul Aman mendapat pujian pengendalinya, Nafuzi Zain, biarpun kelab tersebut berdepan masalah kewangan.
Menurutnya, pemain Sang Kenari memberikan segala-galanya untuk membantu pasukan dan dia berharap usaha berkenaan akan dapat membuka mata ramai pihak untuk terus membantu Kedah mengatasi masalah yang dihadapi.
“Sokongan daripada mana-mana pihak untuk membantu kelab adalah sangat diharapkan. Saya bersyukur kerana pemain ada dengan saya untuk turun berlatih dan ada bermain, untuk perlawanan seterusnya saya tidak pasti mereka ada ataupun tidak. Sekarang ini pemain turun untuk membantu dan merupakan satu kenikmatan buat diri saya.
“Untuk bercakap apa yang dilalui oleh pemain sekarang sukar untuk diterima oleh mereka namun apabila beraksi dalam 90 minit ini segala permasalahan diletakkan di tepi dan mereka memberikan segala-galanya untuk pasukan, mereka ini betul-betul profesional,” katanya pada sidang akhbar di Stadium Darul Aman selepas perlawanan tamat.
Jelas Nafuzi, Kedah kini berada di kelompok bawahan liga namun para pemain terus berusaha untuk memberikan saingan kepada pasukan yang berada di kelompok atasan.
Menurutnya, dari sudut kecergasan, dia mengakui para pemainnya tidak berada pada tahap terbaik kerana tidak hadir berlatih dalam tempoh masa yang cukup bagi tempoh dua bulan ini.
“Saya rasa kita turun dalam 10 sesi saja latihan dan persediaan memang tidak cukup dari segi mental dan fizikal seperti yang dapat dilakukan sebelum ini namun, pada kali ini keinginan untuk menang penting ditunjukkan oleh semua pemain.
“Bertemu dengan Terengganu sebuah pasukan bagus, berkualiti kita perlu bekerja keras sebagai satu unit walaupun kita bukan menang dengan cara kebiasaan yang dilakukan sebelum ini tapi yang penting adalah tiga mata,” ujarnya.
Dalam pada itu, Nafuzi mengakui mengenali secara dekat kualiti pemain-pemain pasukan lawan kerana pernah mengendalikan pasukan tersebut dan taktikal perlu diubah jika mahu meraih kemenangan.
“Jika kita lawan secara fizikal memang akan ketinggalan sebab itu kita tidak perlu membazirkan tenaga dan apabila kita berjaya mendapatkan gol, pada separuh masa kedua kita lebih banyak bertahan.
“Dalam pada itu, saya juga bersyukur video pembantu pengadil (VAR) berpihak kepada kita malam ini walaupun sebelum ini memang banyak keputusan VAR yang tidak bernasib baik dan malam ini tidak mengecewakan,” katanya lagi.
Dia berharap para pemain akan terus bersamanya untuk perlawanan seterusnya bertemu PDRM pada 25 Oktober dan Sabah pada 29 Oktober ini.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Terengganu, Badrul Afzan Razali pula berkata, fokus utamanya kini adalah untuk memantapkan bahagian serangan yang masih tumpul.
Menurutnya, sejak dua perlawanan lalu pasukan berkenaan mengalami masalah yang sama biarpun mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol namun gagal dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.
“Masalah kita sekarang ini dua perlawanan selepas saya ambil alih ialah penyeranglah, kita tak menjaringkan gol walaupun kita cipta peluang tapi jaringan tak diterjemahkan pemain, saya kecewa perlawanan malam ni.
“Sudah tentu banyak kerja rumah saya kena buat untuk pasukan ni, cuma saya perlu ambil masa sedikit untuk menyesuaikan pemain, saya akan fokus untuk perlawanan akan datang, saya nak pemain bila dapat peluang mesti terjmah dengan jaringan,” katanya.
Kredit -- Sinar Harian