Cristiano Ronaldo menjaringkan golnya yang ke-16 musim ini ketika membantu Al-Nassr menewaskan Al-Riyadh 4-1 dalam saingan Liga Pro Saudi awal pagi tadi.

Bintang Portugis itu membuka jaringan tidak lama selepas setengah jam permainan setelah menerima umpanan daripada rakan senegaranya, Otavio, yang turut menemui sasaran dalam waktu kecederaan babak pertama.

Anderson Talisca kemudian memberikan lebih keselesaan buat tuan rumah dengan jaringan ketiga pada minit ke-67 tetapi ia hanya kekal selama seminit sebelum Andre Gray kembali merapatkan jurang buat Al-Riyadh.

Bagaimanapun, Al-Riyadh tidak dapat menambah sebarang jaringan selepas itu sebelum Talisca menemui gol kedua peribadinya dalam waktu kecederaan.

Kemenangan itu menyaksikan Al-Nassr kekal ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu, Al Hilal, yang merakamkan kemenangan ke-16 berturut-turut dalam kesemua kejohanan dengan menewaskan Al-Tai 2-1 dalam satu lagi perlawanan.