LHM: UiTM hukum ketumpulan Maybank
Shaiful Shamsudin
January 15, 2025 20:58 MYT
January 15, 2025 20:58 MYT
Skuad hoki UiTM mencipta kejutan untuk mencetak kemenangan sulung dalam kempen Liga Hoki Malaysia (LHM) 2025 dengan menundukkan Maybank 3-1, petang tadi.
Dalam perlawanan di Padang 1 Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil itu, UiTM berada di depan hasil jaringan yang disempurnakan Perabu Tangaraja menerusi situasi pukulan sudut penalti pada minit ke-20.
Tersentak dengan jaringan itu, Maybank cuba bangkit dengan melancarkan serangan bertali arus ke kubu lawan, namun dikecewakan dengan kekebalan penjaga gol UiTM, Muaz Bashir Shabri, yang berhempas pulas mengawal gawang daripada dibolosi.
Anak buah Iman Gobinathan Abdullah terus mengasak uitm dalam babak kedua, namun kali ini dikecewakan ketumpulan penyudah.
UiTM yang sesekali menyerang sebaliknya menambah jaringan kedua -- juga hasil sentuhan pukulan sudut penalti Perabu sebelum Muhammad Hafizhuddin Zaidi melengkapkan kemenangan berharga barisan kendalian Nor Aqmal Abdul Ghaffar itu dengan jaringan ketiga.
Maybank, bagaimanapun, meraih gol tunggal di penghujung masa sebenar perlawanan menerusi pukulan sudut penalti Shahmie Irfan Suhaimi.
Keputusan ini menyaksikan Maybank yang menamatkan saingan di kedudukan ketiga saingan LHM 2023 mengalami kekalahan kedua musim ini selepas tewas kepada THT 1-2, 6 Januari lalu.
Pemain tampak berdisiplin tinggi daripada segi bertahan. Mereka manfaatkan peluang menerusi pukulan sudut penalti.
"Kemenangan ini akan bangkitkan semangat pemain untuk hadapi perlawanan akan datang," kata Nor Aqmal di Nadi Arena sebentar tadi.
"Tidak cukup bagus untuk jaringkan gol. Kalau kami gagal jaringkan gol, cukup satu peluang untuk pihak lawan hukum kami.
"Pasukan ini bagus, pemain juga bagus cuma kami tidak cukup klinikal dalam soal penyudah. Terlalu banyak peluang yang dibazirkan," kata Iman Gobinathan pula.