Larian menara: Soh Wai Ching sasar gelaran kedua di Amerika Syarikat

Muzaffar Musa
June 8, 2022 19:02 MYT
Pelari menara nombor satu negara, Soh Wai Ching, yakin mampu menjuarai Larian Fight for Air Climb New York City di One Penn Plaza, New York hujung minggu ini.
Ini selepas dia menjuarai acara larian Tunnel to Towers Climb New York City di One World Trade Center hujung minggu lalu.
Wai Ching memenangi acara pendakian setinggi 104 tingkat (2,226 anak tangga) itu dengan catatan masa 12 minit dan 46 saat, sekali gus berada dalam keadaan berkeyakinan tinggi untuk meraih kemenangan keduanya di bumi Amerika Syarikat dalam tempoh hanya berselang seminggu.
Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Yeoh Peck Xian, dia berkata: "Saya akan menyertai Larian Fight for Air Climb New York City di One Penn Plaza, di mana ia merupakan bagunan berketinggian 52 tingkat dengan lebih kurang 1,200 anak tangga.
"Sasaran saya adalah untuk memecahkan rekod laluan itu dan saya sebenarnya agak yakin untuk berkata bahawa saya akan memenangi perlumbaan itu kerana saya sudah bersedia dengan baik dan banyak berlatih.
"Menjelang perlumbaan hujung minggu ini, saya mahu mendapatkan catatan yang baik walaupun saya tidak tahu bagaimana keadaan laluan di sana.
"Saya tidak tahu mengenai pesaing lain tetapi saya akan memberikan yang terbaik," katanya.
#Larian Menara #Soh Wai Ching
;