Larian menara: Soh Wai Ching mahu ubah landskap di Malaysia
Muzaffar Musa
December 15, 2022 21:50 MYT
December 15, 2022 21:50 MYT
Pelari menara nombor satu dunia, Soh Wai Ching, mahu mengubah landskap sukan itu, yang dilihat tidak popular di Malaysia.
Baginya, adalah satu kerugian seandainya sukan berkenaan tidak diketengahkan kerana jika ia mula diiktiraf dalam temasya besar, sudah pasti pingat emas akan menjadi milik Malaysia.
"Tugas persatuan adalah untuk membina atlet dan menghantar mereka mewakili negara, jadi seperti itulah lumrahnya'," katanya kepada Nadi Arena.
"Apabila anda menjadi tuan rumah, anda boleh masukkan apa sahaja sukan yang anda mahukan.
"Larian menara sudah pasti akan memberikan kita pingat emas dalam acara lelaki dan menjelang (Sukan SEA Malaysia) 2027, kita akan memiliki pasukan yang kuat dalam kategori lelaki dan wanita. Kita boleh mendominasi sukan ini.
"Jadi, itulah janji kami kepada KBS (Kementerian Belia dan Sukan). Kami mahu menunjukkan bahawa kesemua atlet kami akan berada dalam kelompok 10 terbaik dunia.
"Dengan itu, peluang sukan ini untuk berada dalam Sukan SEA akan menjadi lebih tinggi.
"Kita boleh mendominasi sukan ini, jadi tiada alasan larian menara tidak disenaraikan ke Sukan SEA," katanya.