REAL MADRID 3 ESPANYOL 1

Real Madrid bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk mengecilkan jurang dengan pendahulu LaLiga, Barcelona, kepada enam mata apabila Vinicius Junior, Eder Militao dan Marco Asensio menemui sasaran ketika menewaskan Espanyol 3-1 di Santiago Bernabeu malam tadi.

Madrid turun beraksi dalam perlawanan itu selepas gagal merekodkan sebarang kemenangan daripada tiga perlawanan terakhir dan mereka kelihatan sekali lagi akan keciciran mata apabila Joselu meletakkan Espanyol di depan seawal minit kelapan.

Bagaimanapun, gerakan solo Vinicius pada minit ke-22 berhasil mengikat kedudukan buat tuan rumah sebelum Militao memberikan kelegaan buat Madrid menerusi golnya pada penghujung babak pertama.

Asensio kemudian meloloskan dirinya daripada pertahanan lawan untuk menjaringkan gol ketiga Los Blancos pada penghujung pemainan untuk memastikan Madrid hanya ketinggalan enam mata di belakang Barcelona menjelang kunjungan Blaugrana ke laman Athletic Bilbao awal pagi esok.

Madrid dan Barcelona seterusnya akan bertemu sesama sendiri dalam aksi Clasico di Camp Nou awal pagi Isnin depan.